Kisah Doa Ibu Yang Mengalahkan Doa Wali Allah
KompasNusantara - Inilah kisah menarik tentang seorang ulama, Sayyid Sholeh bin Muhammad al-Ja’fari yang mana doanya dikabulkan oleh Allah dalam ibadah haji, tetapi dibatalkan oleh keinginan ibunya sendiri.
Kisah ini bermula ketika beliau pertama kali melakukan ibadah haji pada tahun 1952, di hadapan Ka’bah beliau berdoa kepada Allah supaya memperkenankan permintaannya untuk membolehkan melaksanakan ibadah haji setiap tahun, memang benar doanya dikabulkan.
Setiap tahun sebelum beliau wafat, beliau dapat melaksanakan ibadah haji kecuali pada musim haji tahun 1962. Keadaan tahun tersebut benar-benar merumitkan sehingga tidak mengizinkan beliau untuk berangkat dari Cairo (Mesir) ke Makkah untuk melaksanakan haji.
Disebabkan dari kesulitan yang dialami, akhirnya beliau memilih jalan melalui Sudan untuk memudahkan urusan berangkat ke Makkah, namun ternyata keadaan untuk berangkat ke Makkah dari Sudan pun beliau menghadapi kesulitan.
Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya beliau tidak dapat melaksanakan ibadah haji pada tahun tersebut. Akibat kesulitan yang dihadapi, beliau membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Dunqula, Sudan, karena kebetulan ibu beliau tinggal di sana.
Ketika sampai di rumah, di depan pintu ibunya tiba-tiba memeluk beliau dan berkata, ”Maafkan ibu nak, ibu telah membeli seekor domba untuk dikurbankan pada tahun ini, dan ibu berdoa kepada Allah supaya engkau dapat merasakan masakan ibu dari daging kurban itu.”
Maka mengertilah Sayyid Sholeh bin Muhammad al-Ja’fari mengapa tahun ini beliau sulit untuk pergi haji sehingga tidak dapat melaksanakan ibadah tersebut.
Demikianlah, doa seorang ibu yang lebih hebat dari doa seorang ulama bahkan wali sekalipun.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kedudukan doa seorang ibu untuk anaknya, sama seperti kedudukan doa seorang Nabi untuk umatnya.”
Sayyid Sholeh al-Ja’fari adalah ulama dan wali besar, pengamal Thariqat al-Ja’fari serta Imam dan Khatib di Masjid al- Azhar, Mesir. Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW, beliau merupakan guru dari ulama-ulama besar dunia. Di antara muridnya yang terkenal adalah Syeikh Dr. Ali Jum’ah dan Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki.
Terfikirkah kita, bahwa rezeki yang kita dapat hari ini pun adalah disebabkan oleh doa seorang Ibu. Ya Allah, memang tepat sebagaimana hadits Nabi SAW tersebut.
Wallahu A’lam